daripada kosmo!
PERKAHWINAN mereka pada 16 Disember, 2009 lalu sempat menimbulkan kontroversi. Namun masa berlalu, kini tiada lagi kontroversi. Aktres putih gebu, Zizie Ezette,32, sebaliknya nyata sedang diulit kebahagiaan bersama suami tercinta, Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin.
Sementelah, usia perkahwinan mereka kini hampir mencecah dua tahun, Zizie tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk memiliki cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan berumah tangga.
Ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini, akui Zizie yang kelihatan anggun dalam persalinan ungu, dia dan suami tidak pernah merancang untuk mempunyai anak pada waktu tertentu.
Malah, ungkap Zizie, dia sendiri sebenarnya sangat teruja menjadi seorang ibu. Bagaimanapun, Zizie dan suami menganggap mereka masih belum ada rezeki untuk menimnang anak buat masa ini.
"Saya akui yang kami pernah menjalani pemeriksaan (perubatan) bersama-sama dan keputusan yang diterima adalah masing-masing tidak ada masalah kesihatan yang mampu menghalang kami untuk memperoleh anak.
"Walaupun kami memang inginkan sangat menimang cahaya mata, tetapi itu semua adalah kehendak dan ketentuan Allah. Bagi saya, mungkin ada hikmah di sebaliknya atas situasi yang kami alami ini," luah pemilik nama sebenar Zizie Izette Abd. Samad ini.
Walaupun mengakui sangat gembira dan selesa dengan kehidupan yang dilalui sekarang, Zizie nyata tidak menolak untuk bergelar ibu.
"Sebenarnya saya sudah bersedia untuk bergelar seorang ibu pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.
Suami bukan penghalang
Menyentuh tentang suami, justeru pasti ada yang tertanya-tanya adakah itu faktor di sebalik kenapa Zizie tidak aktif berlakon sekarang ini.
Memulakan karier lakonan sejak usia belasan tahun lagi, sehingga kini sudah puluhan drama serta telefilem yang pernah dilakonkannya.
Bagaimanapun, setelah berkahwin boleh dikatakan kemunculan anak kepada pelakon Khaty Fauziah ini di kaca televisyen dilihat semakin kurang berbanding sebelum berumah tangga dahulu.
Justeru, adakah pelakon yang mula dikenali menerusi filem sulungnya, Kekasih Awal Dan Akhir itu sudah berhenti menjadi anak seni atau tidak lagi mendapat mendapat keizinan suami untuk bergelar pelakon.
Zizie bagaimanapun menjelaskan, dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti daripada bidang yang telah menaikkan namanya.
KELUARGA besar. Zizie bersama sebahagian keluarganya.
" Saya masih lagi berpegang teguh kepada prinsip untuk tetap setia dengan dunia lakonan. Lagipun, inilah satu-satunya punca rezeki saya selama ini memandangkan saya telah berlakon sejak remaja lagi.
"Suami saya sendiri langsung tidak pernah menghalang dan tetap memberikan sokongan dan keizinan untuk saya terus berlakon. Namun, saya akui sejak berumah tangga ini waktu saya memang agak terbatas," jelas pemenang Aktres Harapan Festival Filem Malaysia Ke-11 (1994) menerusi filem sulungnya itu.
Tambah Zizie, jauh di lubuk hati dia sememangnya sangat rindu untuk berlakon kerana minatnya yang tidak pernah pudar dan dia sangat bersyukur kerana masih ada lagi pihak yang sudi menawarkannya berlakon.
Menurutnya, walaupun suami tercinta masih lagi memberi keizinan untuk terus berlakon, tetapi ada tawaran yang terpaksa ditolak kerana faktor masa atau watak yang diberikan kurang sesuai.
"Walaupun suami seorang berfikiran terbuka dan begitu memahami kerjaya saya sebagai anak seni, namun terlebih dahulu saya akan tetap berbincang dengan suami mengenai tawaran yang diterima.
"Mengenai watak pula kalau boleh saya mahu diberikan watak-watak yang sesuai dengan usia dan status saya sebagai seorang isteri. Misalnya watak seperti wanita korporat, berkerjaya ataupun watak seorang ibu," jelasnya.
ZIZIE melayan tetamu yang hadir ke majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri pada minggu lalu.
Menariknya, kakak kepada pelakon Shaheizy Sam ini memberitahu suaminya juga adalah penggemar setia kepada drama atau telefilem yang dilakonkan dan tidak pernah ketinggalan untuk memberi sebarang komen mengenai lakonannya.
"Saya menganggap suami merupakan pengkritik utama saya dan akan menerima dengan hati terbuka sebarang komen yang diterima. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan satu panduan untuk saya lakukan yang lebih baik lagi selepas ini," ujarnya.
Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang menjadi isteri kepada seorang wakil rakyat, Zizie menjelaskan dia lebih banyak menemani suaminya turun padang untuk beramah mesra dengan penduduk-penduduk di bawah parlimen suaminya itu.
"Saya lebih banyak menghabiskan masa di Sabah memandangkan suami saya perlu menjaga kawasan yang diwakilinya di Kinabatangan. Kalau ada sidang parlimen barulah saya akan pulang ke Kuala Lumpur.
"Memang saya mengaku pada mulanya agak kekok untuk bergelar isteri kepada Yang Berhormat, tetapi kini saya sudah semakin dapat membiasakan diri dan tidak kisah kalau terpaksa menemani suami melawat ke kampung yang terletak di pedalaman," ujarnya lagi.
Kasihan dengan Sam
Bayangkan diri menjadi kakak kepada seorang adik yang sama-sama menceburkan diri dalam dunia lakonan tetapi si adik langsung tidak meraih tawaran lakonan? Itulah yang pernah dialami Zizie dan adiknya, Shaheizy Sam suatu ketika dahulu.
|
MANJA. Pasangan bahagia ini tidak merancang zuriat.
|
Tidak keterlaluan kalau dikatakan Sam ketika ini adalah antara pelakon yang paling diminati ramai dan setiap filem lakonannya sering memberikan keuntungan kepada penerbit.
Sebagai seorang kakak, Zizie menyatakan yang dia sememangnya sangat bangga dengan pencapaian yang telah diperolehi oleh adiknya itu dan menyifatkan Sam adalah pelakon yang sangat berbakat.
"Dia sama seperti saya yang sudah mula berlakon ketika masih remaja lagi. Namun, dia agak kurang bernasib baik kerana bakat yang dimilikinya itu masih lagi tidak dipandang ketika itu.
"Sehinggakan saya pernah berasa kasihan melihatnya kerana tidak memiliki sebarang pekerjaan. Sedangkan dia mempunyai kesungguhan dan jiwa yang cukup mendalam terhadap bidang lakonan," luahnya.
Namun, kini selepas masing-masing sudah mencipta nama, Zizie bagaimanapun menegaskan adalah sesuatu perkara yang agak mustahil untuk dirinya bergandingan dengan Sam dalam sebuah produksi yang sama.
Ujarnya lagi, sepanjang dirinya dan Sam bergelar pelakon, hanya sekali sahaja mereka bergandingan bersama-sama iaitu menerusi filem yang berjudul Sama Tak Serupa pada tahun 1995.
"Saya sendiri sebenarnya tidak yakin untuk berlakon dengannya kerana kami berdua mempunyai sikap yang sama iaitu suka menyakat. Saya risau kalau kami tidak dapat mengawal sikap tersebut ketika di set penggambaran," katanya.
Meskipun begitu, menurut Zizie, Sam akan bekerjasama dengan dirinya itu menerusi sebuah filem.
"Filem belum berjudul itu bakal diterbitkan sendiri oleh syarikat produksi milik saya iaitu BZ 2121 Production," ujar Zizie.